Penghidap kencing manis banyak pantang-larangnya. Jika tersalah makan, gula boleh mencanak naik sehingga boleh menyebabkan pitam. Jika terlebih membuat sesuatu aktiviti untuk orang kencing manis, gula darah pula turun mendadak sehingga menyebabkan hipoglisemia. Ini membuatkan pesakit diabetes tidak bermotivasi untuk kerap bersenam atau kekal aktif. Tahukah anda ada beberapa senaman untuk pesakit kencing manis yang boleh dilakukan? Ini 6 jenis senaman untuk kencing manis yang sesuai dibuat pada waktu lapang.
Bagi mereka yang mula berjinak-jinak dalam aktiviti senaman, ada beberapa jenis senaman yang boleh anda cuba buat kerana ia lebih mesra dengan pesakit diabetes.
Antara senaman tersebut adalah:
1. Berjalan kaki
Ya, berjalan kaki seperti biasa juga adalah sejenis senaman. Ia lebih baik daripada anda hanya duduk atau tidur berjam-jam di rumah.
Aktiviti berjalan merupakan jenis senaman yang paling mudah untuk dilakukan.
Ini kerana ia tidak memerlukan lokasi atau peralatan khas.
Anda boleh berjalan kaki di mana-mana, dan pada bila-bila masa sahaja.
Namun ingat, memandangkan anda menghidap diabetes, pastikan anda memakai kasut yang betul dan tidak terlalu ketat.
Cuba lakukan aktiviti berjalan kaki selama 30 minit setiap hari.
2. Senaman untuk kencing manis: Berenang
Jika rumah anda berdekatan dengan sungai, pantai atau kolam renang eksklusif, anda boleh cuba melakukan aktiviti renang sebagai satu rutin sihat.
Berdasarkan kajian, aktiviti renang boleh membantu menurunkan paras gula darah dengan kesan yang sama seperti ketika anda bersenam di daratan.
Selain itu, berenang juga boleh melatih jantung, paru-paru dan otot anda untuk kekal sihat.
3. Berbasikal
Ada peminat sukan berbasikal tetapi risau gula darah jatuh mendadak?
Tahukah anda bahawa hampir separuh daripada pesakit kencing manis jenis 2 mempunyai masalah sakit sendi atau arthritis?
Salah satu faktor penyebabnya adalah masalah obesiti.
Jika anda obes dan mempunyai diabetes jenis 2, anda boleh pertimbangkan untuk melakukan senaman untuk kencing manis yang satu ini iaitu aktiviti berbasikal.
Ia kurang menyakitkan terhadap otot anda selain menggalakkan kesihatan sendi dan otot.
4. Senaman untuk kencing manis: Aerobik
Senam aerobik amat popular pada satu masa dahulu.
Namun, anda boleh mencubanya kembali sebagai salah satu senaman mudah yang amat sesuai untuk pesakit diabetes.
Ada kajian menyatakan bahawa, wanita yang mempunyai diabetes jenis 2 sangat bermotivasi untuk bersenam setelah menyertai kelas Zumba selama 16 minggu.
Jadi, tidak mustahil jika aktiviti senam aerobik boleh menggalakkan anda untuk lebih kerap bersenam pula.
5. Yoga
Yoga merupakan satu aktiviti meditasi diri yang berasal dari negara India.
Anda boleh cuba melakukan gerakan yoga untuk menurunkan dan mengawal paras gula darah.
Berdasarkan kajian pada tahun 2016, yoga boleh membantu pesakit kencing manis jenis 2 untuk mengawal gula darah, tahap kolesterol dan berat badan mereka.
Bukan itu sahaja, yoga juga boleh menurunkan tekanan darah, memperbaiki kualiti tidur dan meningkatkan mood dan emosi anda.
6. Angkat berat juga senaman untuk kencing manis yang sesuai
Sukan ini mungkin agak sukar dan tidak ramai yang melakukannya.
Namun, anda boleh bermula daripada beban yang paling rendah.
Sukan angkat berat merupakan senaman yang boleh menguatkan dan membina otot badan. Ia boleh membantu membakar lebih banyak kalori setiap hari.
Selain itu, latihan angkat berat juga boleh membantu memperbaiki paras gula darah anda.
Kesimpulan
Apa pun jenis sukan dan senaman yang hendak anda lakukan, rujuk doktor yang merawat anda terlebih dahulu.
Doktor akan menentukan segala manfaat dan risiko yang bersesuaian dengan keadaan semasa diabetes anda.